Khamis, April 23, 2009

SATU MALAYSIA - SIRI 7

Sejak YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abd. Razak memperkenalkan konsep “Satu Malaysia” ramai yang tidak memahaminya atau mungkin sengaja tidak mahu memahaminya. “Satu Malaysia” bukan baru, ianya telah diperkenalkan dari zaman Tun Abd. Razak, Perdana Menteri ke-2, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke-4 dan Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi Perdana Menteri yang ke-5, pendekatan atau jenamanya berbeza. Semua pemimpin terdahulu ingin melihat negara maju berfikiran kelas pertama seterusnya hidup dalam keadaan harmoni, tidak ungkit-mengungkit, lebih-lebih lagi ada yang sanggup menderhaka semata-mata untuk kepentingan satu-satu kelompok, ini sudah pasti tidak diingini oleh semua pemimpin yang terdahulu dan kini. Malah rakyat jelata jika berfikir secara ikhlas dan tidak emosional maka ianya tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

2. “Satu Malaysia” tidak bererti menafikan hak-hak semua kaum seperti yang tercatit dalam perlembagaan yang telah dipersetujui bersama bilamana kita hendak mencapai kemerdekaan, konsep “Satu Malaysia” tidak bererti semua kaum yang ada dalam negara boleh menuntut yang bukan-bukan, tidak bererti tidak ada lagi pembangkang.

3. Hakikatnya segala apa yang tersurat di dalam perlembagaan negara tentulah tidak akan disentuh, malah segala peruntukan yang termaktub di dalam perlembagaan sudah semestinya menjadi asas kepada kita semua, tidak siapa yang berhak dicabuli.

4. Dari sudut agama, telah juga wujud peruntukan dalam perlembagaan bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara, dan lain-ain agama bebas untuk diamalkan di dalam negara kita secara aman dan bebas. Peruntukan seperti ini membawa mesej yang amat jelas, iaitu perlindungan kepada panganut-penganut agama yang tidak mungkin boleh dicabar kedudukannya dan siapa yang memimpin negara ini, atau menjadi kerajaan, maka kerajaan itu haruslah menghormati hak semua rakyat. Tidak ada satu individu pun boleh dinafikan, melainkan jika mereka melanggar peraturan-peraturan yang telah dipersetujui bersama saperti yang kita bincang sebelum ini.

5. Iaitu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan lain-lain agama bebas diamalkan, maka kerajaan wajib melindungi ketinggian dan kesucian agama.

6. Sejarah kegemilangan Islam di zaman Rasullullah seterusnya di zaman Khulafah Rashidin, Muawiyah dan Abbasiah dapat bertapak di Eropah dan lima ini membuktikan konsep “Wahdatul Ummah” dan Konsep ”Wahdatu Al-Din” dapat membangunkan aqidah dan kerajaan dengan kekuatan aqidah umat Islam di samping menghormati agama-agama lain dan amalan masing-masing, maka terbuktilah Islam di zaman Rasullullah dapat diterima oleh umat sejagat, sehingga tersebar luas ke Andalusia. Semua umat menerima hakikat yang ditunjukkan oleh Rasullullah. Konsep “Wahdatul Al-Umah” konsep “Wahdatul Al-Din” berjaya dikembangkan kerana tidak merampas hati sesiapa.

7. Dasar yang di bawa oleh Rasullullah dihormati dan difahami oleh semua warga yang menjadi rakyat semasa pemerintahannya. Justeru tidak wujud pertikaian, pertelingkahan dikalangan rakyat sehingga memungkinkan kerahan kegelisahan tak puas hati dikalangan rakyat/masyarakat samada masyarakat jahiliah mahupun masyarakat yang menganut agama Islam.

8. Konsep “Satu Malaysia” semestinya mengambil iktibar dari perjalanan sejarah tamadun Islam dari keamanan dan keharmonian serta kepada negara Malaysia yang kita cintai. Pepatah Arab ada berkata “Kasih kepada Tanah Air Sebahagian Daripada Iman”.

9. Sejak merdeka kita bermastautin dan berdaulat, berpayungkan kepada 5 prinsip rukun negara.Kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan.

10. Malah kedudukan agama Islam, sebagai agama rasmi negara yang ulung di dalam negara kita juga adalah merupakan satu kontrak sosial yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, kerana sejarah telah membuktikan bahawa persetujuan untuk memaktubkan Islam sebagai agama rasmi negara ketika itu, adalah merupakan kesepakatan dikalangan wakil-wakil yang hadir menuntut kemerdekaan. Sebagai jaminan, mereka bersetuju perlembagaan negara memperuntukkan bahawa agama-agama lain bebas diamalkan dinegara ini.

MT
TINGKAT 6

22 April 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan