Rabu, Disember 23, 2009

PENGERTIAN SIASAH SYARIAH

Oleh : MT

Untuk menilai beberapa isu semasa dari sudut pandangan siasah syariah terlebih dahulu kita perlu memahami apakah yang dimaksudkan dengan siasah syariah berasaskan huraian-huraian yang dibuat oleh para ulama dalam kitab-kitab fiqah yang membicarakan tentang hukum-hukum yang berkaitan dengan kaedah-kaedah pemerintahan dalam Islam seperti yang diamalkan di zaman Rasulullah dan para sahabat Baginda.

Perkataan siasah dalam bahasa Arab membawa makna “Tadbiru Al-Syaie Wal-Qiamu Alaihi Bima Yuslihuh”; maksudnya: “Mengurus sesuatu dan menjaganya dengan apa cara yang boleh membawa kebaikan kepadanya”.

Para ulama fiqah ketika menulis dalam bidang ini telah mengandingkan perkataan siasah dan perkataan syariah.

Imam Ibnu Al-Qayyim dalam kitabnya “At Thuruq Al-Hukmiyah” yang memetik kata-kata Ibnu Aqil seperti berikut: Mengenai penggunaan Siasah Syariyyah; bermaksud: “Dalam urusan pemerintahan, terdapat pandangan yang menyatakan keharusan beramal dengan prinsip Siasah Syariyyah”. Ini merupakan pendapat yang kukuh diperakukan oleh empat mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi.

Mengenai pengertian Siasah Syariyyah Ibnu Aqil menyatakan; “Siasah Syariyyah ialah apa-apa tindakan manusia kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan”, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasulullah S.W.A dan tidak terdapat dalam wahyu yang diturunkan.

Sementara Ibnu Najin pula mentakrifkan sebagai; “Sesuatu tindakan yang diambil oleh pemerintah yang pada pandangannya boleh menjaga kepentingan umum, sekalipun tidak terdapat dalil yang putus, (qatai) mengenainya”.

Daripada definasi-definasi di atas dapat difahami bahawa di bawah prinsip Siasah Syariyyah ini, pemerintah mempunyai kuasa yang luas dalam menguatkuasakan apa-apa peraturan serta larangan untuk menjaga kepentingan
Umum, itu mestilah berasaskan kepada pandangan dan penilaian pemerintah sendiri, sepertimana yagn ditekankan oleh Ibnu Najin dalam takrifnya, “Limaslihatin Yaraha” kerana sesuatu kepentingan umum mengikut pandangannya.

Ketika membicarakan bidang kuasa dan hak pemerintah ini, Dr. Mahmud Al-Khalidi dalam kitabnya “Qawa’id al-nizam al-hukmi fi al-Islam” menyatakan; para sahabat juga telah sepakat menyatakan bahawa melaksanakan peraturan-peraturan yang didukung oleh pemerintah adalah wajib dan tidak halal bagi seseorang muslim mengikut hukum, undang-undang serta sistem pentadbiran yang lain dari apa yang ditentukan oleh pemerintah (ketua negara).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan